KUCHING: Sejumlah 1,500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak sudah bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu orang ramai dalam menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata semua bilik gerakan di setiap daerah juga telah diarah beroperasi 24 jam untuk memantau situasi dan keadaan semasa di kawasan yang berisiko.

"Pihak polis dan pihak bomba telah dikerahkan untuk mengawasi dan memantau paras air dan kita  mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir di sesuatu kawasan telah dikenal pasti.

"Pihak gerakan kita di setiap daerah ada juga telah bergerak serta bersiap siaga sekiranya berlaku kenaikan air sungai yang mendadak khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pembentangan Pencapaian PDRM Kontinjen Sarawak di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen, Jalan Badruddin di sini, hari ini.

Sementara itu Aidi berkata statistik jenayah di Sarawak menunjukkan penurunan sebanyak 26.8 peratus atau 1,575 kes sepanjang tahun lepas berbanding 2020, dan kadar jenayah indeks di Sarawak ketika ini dilihat masih di bawah nilai ambang yang ditetapkan Ibvu pejabat Polis Bukit Aman.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Amaran hujan berterusan buruk di Sarawak

Bagaimanapun menurutnya kes-kes melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mencatatkan peningkatan apabila 2,816 kes direkodkan sepanjang 2021, berbanding 1,460 kes yang direkodkan pada 2020.

"Jumlah kerugian yang direkodkan bagi tempoh 2021 itu adalah sebanyak RM73.5 juta berbanding RM66.5 juta pada tahun 2020," katanya.