Skip to main content

Bisnes

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS susulan sentimen berhati-hati

51770173976_tbRINGGITMALAYSIA.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut nilai kepada 4.0365/0430 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0240/0295, semalam. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Khamis dengan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen berhati-hati di tengah-tengah kecelaruan pendirian Presiden Donald Trump terhadap konflik AS-Iran yang menyebabkan perubahan minat risiko pelabur dan peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut nilai kepada 4.0365/0430 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0240/0295, semalam.

Advertisement

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.47 peratus kepada 100.122 mata.

“Harga minyak mentah Brent meningkat apabila Trump menerusi perutusan waktu perdana telah membayangkan tiada penyelesaian terhadap perang ke atas Iran, malah menggesa lebih banyak tindakan agresif dilaksanakan terhadap negara itu dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang selain tiada rancangan membabitkan pembukaan semula Selat Hormuz,” katanya kepada Bernama.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, menokok 7.56 peratus kepada AS$108.7 setong.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3278/3364 daripada 5.3507/3580 semalam, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5295/5337 daripada 2.5358/5394 sebelumnya dan menokok berbanding euro kepada 4.6517/6592 daripada 4.6666/6730.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit mengukuh kepada 3.1364/1417 daripada 3.1369/1414 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.68 daripada 6.68/6.69, semalam.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 237.4/237.9 daripada 236.9/237.3 selain susut berbanding baht Thailand kepada 12.3180/3447 daripada 12.2726/2926, semalam.

Prestasi mata wang serantau itu turut rendah berbanding dolar AS.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video