Skip to main content

Malaysia

159 pelajar, kakitangan sekolah di Lenggong keracunan, premis makanan diarah tutup

IPOH, 5 Jan -- Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak Datuk A. Sivanesan ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini._BERNAMA
Sivanesan berkata penutupan premis itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

TAIPING: Sebuah premis penyedia perkhidmatan makanan diarah tutup serta-merta selepas disyaki menjadi punca kejadian keracunan makanan yang membabitkan 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama penuh di Lenggong, pada 9 Sept lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Datuk A. Sivanesan berkata penutupan premis itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Siasatan awal di lapangan mendapati sebanyak 159 kes yang bergejala membabitkan individu berusia antara 13 hingga 52 tahun. Onset terawal kes adalah pada 9 Sept 11.30 malam manakala onset terakhir adalah pada 10 Sept 1.40 tengah hari.

“Premis makanan diarah tutup bagi kerja pembersihan dan kawalan makhluk perosak secara berkala selepas pemeriksaan pada 10 Sept (2 petang) mencatat rating kebersihan sekitar 78.16 peratus,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan Hospital Taiping oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping di sini.

Mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa, Sivanesan berkata pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan (KK) Lenggong telah hadir ke sekolah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan dan memberikan rawatan awal di lokasi dengan 10 individu dirujuk ke KK Lenggong bagi menerima rawatan lanjut.

“Semua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan tiada kemasukan ke wad dilaporkan. Bagi mengenal pasti punca kejadian, sebanyak 34 sampel klinikal, 14 sampel persekitaran dan satu sampel makanan telah diambil semalam dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh (MKAI) bagi tujuan analisis," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement