PLATFORM reka bentuk grafik global yang popular, Canva, mengumumkan langkah penstrukturan semula syarikat secara besar-besaran yang menyaksikan pengurangan sebanyak 22 peratus daripada tenaga kerjanya.
Langkah itu menjejaskan 1,271 kakitangan global yang bakal kehilangan pekerjaan, ditukar peranan atau diarahkan berpindah ke hab operasi berpusat syarikat, lapor Amanz.
Keputusan sukar itu diambil selepas syarikat merekodkan pertumbuhan yang perlahan buat kali pertama dalam tempoh sedekad, di samping berdepan persaingan sengit serta perubahan struktur susulan ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kreatif.
Fenomena global itu menyaksikan bukan sahaja orang ramai beralih kepada alat AI generatif secara langsung, malah syarikat korporat mula memanfaatkan automasi berkenaan bagi membolehkan operasi perniagaan dijalankan dengan saiz pasukan yang jauh lebih kecil.
Melalui pelan penstrukturan semula ini, Ketua Pegawai Eksekutif Canva, Melanie Perkins, menyasarkan untuk mempermudah model operasi organisasi dengan menggabungkan bahagian produk, pertumbuhan dan platform, sekali gus kembali kepada konsep asal syarikat yang diterajui pasukan kecil yang berautonomi.