SUNGAI PETANI: Empat lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti penipuan dalam talian baru-baru ini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Rajibul Islam, 32; Muhammad Tawheed, 26; Forkan Ali, 23, dan Mohamad Jahir Uddin, 20, kerana masing-masing tidak memahami bahasa Melayu.
Mereka didakwa secara bersama menjalankan aktiviti penipuan dalam talian mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Pahlawan, Taman Lagenda Indah di sini pada 9.30 malam, 21 Okt lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hazwani Mohd Noor, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan serta mengarahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 10 Jan 2027 untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Bangladesh.
-- BERNAMA