KUANTAN: Kementerian Luar mengesahkan 16 warga Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Kemboja dan kini dihantar ke balai polis Phnom Penh untuk siasatan lanjut.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata sama ada 16 orang itu termasuk dua orang yang dinyatakan oleh Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, perkara itu akan disiasat.

Namun menurut Saifuddin, identiti mereka masih belum boleh didedahkan lagi namun pihak kedutaan telah pun melawat mereka di balai polis tersebut dan kesemua mereka berkeadaan baik serta diberikan segala bantuan yang diperlukan.

"Dia ada masanya kita bergantung kepada apa yang kita tahu daripada pihak berkuasa. Maka yang kita tahu hari ini di Kemboja ada 16 orang (warga Malaysia).

"Sama ada ini termasuk dua orang yang disebut oleh Datuk Michael Chong atau tidak termasuk yang ini, kita sedang cuba pastikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-42 Persatuan Hindu Sanggam Kuantan di sini hari ini.

Pada Khamis Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, yang memaklumkan pihaknya menerima panggilan telefon daripada sejumlah mangsa pada Februari lalu, meminta untuk diselamatkan.

Mangsa mendakwa diperdaya dengan tawaran dan janji bekerja sebagai telepemasaran dengan gaji yang tinggi.

Saifuddin turut mengingatkan kepada semua yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara supaya mengesahkannya dengan pihak berkuasa terlebih dahulu supaya terhindar dari menjadi mangsa sindiket pekerjaan.

"Bila kita dapat tawaran pekerjaan katalah di Kemboja, semak dengan wakil di Kemboja atau semak dengan Kementerian Luar di Putrajaya.

"Betulkah ada tawaran pekerjaan ini. Selepas itu yang kedua, pastikan kita ada visa pekerjaan yang sah sebab kita tak boleh masuk ke sesuatu negara asing untuk bekerja tanpa ada visa pekerjaan yang sah," katanya lagi.