Skip to main content

Malaysia

17 program MADANI Kita dilaksanakan di seluruh negara tahun ini

IPOH, 13 Sept - Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali berucap sempena Program MADANI Kita (PMK) bersama Komuniti Simpang Pulai @ Gopeng di Dewan Orang Ramai Rapat Setia hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali berucap sempena Program MADANI Kita (PMK) bersama Komuniti Simpang Pulai @ Gopeng di Dewan Orang Ramai Rapat Setia hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

GOPENG: Sebanyak 17 Program MADANI Kita (PMK) dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini melibatkan penganjuran bersama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pengarah J-KOM Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata program itu bermula pada 27 Jun dan setakat ini, penganjuran selesai di empat lokasi, iaitu Chuah, Negeri Sembilan; Kota Raja, Selangor; Sepanggar, Sabah dan Simpang Pulai, Perak.

Beliau berkata siri jelajah program itu akan diteruskan pada minggu hadapan di tiga lokasi, iaitu Bayan Baru, Pulau Pinang; Kuantan, Pahang dan Gopeng, Perak.

“Penganjuran PMK sepanjang tahun ini dirangka bagi menjawab persoalan asas berkaitan sejauh mana perancangan kerajaan benar-benar difahami dan dirasai oleh rakyat.

“PMK turut mendapat kerjasama agensi pelaksana lain seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional juga menjadi inisiatif turun padang yang membawa perkhidmatan awam dan bantuan secara terus kepada rakyat,” katanya.

Mohd Hisyamuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) bersama dengan Komuniti Simpang Pulai @ Gopeng di Dewan Orang Ramai Rapat Setia, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi.

Mohd Hisyamuddin berkata pendekatan penganjuran berskala sederhana dan bersasar itu juga membolehkan kerajaan menyampaikan mesej serta menyantuni pelbagai lapisan masyarakat secara lebih berkesan.

Sementara itu, Tan berkata penganjuran program itu bertindak sebagai platform unik yang meletakkan rakyat sebagai tetamu paling utama melebihi amalan protokol rasmi biasa.

“Saya juga menyambut baik langkah kerajaan memberi mandat kepada Ahli Parlimen dan ADUN kawasan untuk memimpin serta merasmikan program komuniti bagi mengukuhkan hubungan pimpinan setempat dengan pengundi.

“Penganjuran program berkonsepkan turun padang dan mendengar keluhan rakyat secara terus ini selari dengan inisiatif Program Temu Rakyat yang telah dilaksanakan secara berkala di kawasan Parlimen Gopeng,” katanya.

Penganjuran PMK Simpang Pulai@Gopeng hari ini menyasarkan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik, perkhidmatan kerajaan, jualan istimewa dan pengisian untuk seisi keluarga termasuk Jualan Rahmah serta gunting rambut percuma diadakan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement