IPOH: Polis menahan 178 individu membabitkan 143 motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Jelapang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata 166 lelaki dan 12 wanita termasuk pasangan kekasih berusia antara 15 hingga 34 tahun ditahan dalam operasi yang bermula 2.30 pagi.

"Sebanyak 30 daripada yang ditahan ialah pelajar sekolah manakala empat orang merupakan pelajar institut pengajian tinggi.

"Kita juga berjaya menangkap lima individu yang positif dadah yang diambil tindakan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tangkapan turut melibatkan empat individu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya sebanyak 302 saman dikeluarkan dan 19 daripada motosikal yang ditahan telah disita atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai kenderaan di bawah Seksyen 64(1) akta sama.

"Kita menasihati pengguna jalan raya khususnya kalangan orang muda supaya tidak menyalahgunakan jalan raya sebagai tempat beradu kelajuan motosikal digunakan.

"Hasil semakan kita mendapati kebanyakan motosikal yang ditahan telah diubah kepada tahap yang boleh membahayakan penunggang dan pengguna jalan yang lain," katanya.

Abang Zainal Abidin berkata operasi dengan 72 orang kekuatan daripada Polis Diraja Malaysia bersama AADK serta Sukarelawan Polis itu dilaksanakan susulan aduan orang awam dan penduduk berkaitan aktiviti samseng jalanan yang mengganggu ketenteraman awam.

Menurutnya usaha bersama AADK itu turut bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan serta aktiviti penyalahgunan dadah dalam kalangan pengguna jalan raya di bandar raya Ipoh.

-- BERNAMA