KOTA BHARU: Seramai 140 individu termasuk Menteri Besar, barisan Exco Kerajaan Negeri Kelantan serta pemimpin negeri bakal menerima suntikan awal vaksin COVID-19 pada 2 Mac depan.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, fasa pertama suntikan vaksin itu membabitkan jumlah 18,720 dos vaksin yang mulai diterima hari ini.

Terdahulu, Ahmad menyambut ketibaan vaksin dari Subang, Selangor di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini sekitar jam 3.30 petang Khamis.

Kenderaan yang membawa vaksin tersebut turut singgah di pusat simpanan vaksin di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Mas.

Ahmad menjelaskan, beliau adalah antara individu awal menerima suntikan yang dijadualkan dilaksana di Kompleks Kota Darul Naim.

Menurutnya, selain beliau, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin serta Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat turut akan menerima suntikan pada 2 Mac nanti.

Di Kelantan, sejumlah 39 lokasi telah dikenal pasti sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).