Skip to main content

Malaysia

18 juruterbang HAS terima pengiktirafan Airbus, perkukuh keupayaan penerbangan Sarawak

[TB]_HAS International Sdn Bhd (HAS),penerbangan,Airbus H175 2_HAS International Sdn Bhd
Pengiktirafan oleh Airbus itu turut mencerminkan kekuatan keseluruhan sistem sokongan syarikat melibatkan jurutera, juruteknik, pasukan operasi, keselamatan dan sokongan. - Gambar HAS International Sdn Bhd
Advertisement

MIRI: Seramai 18 juruterbang HAS International Sdn Bhd (HAS) menerima pengiktirafan daripada Airbus Helicopters selepas mencapai pencapaian antara 500, 1,000 dan 1,500 jam penerbangan menggunakan helikopter Airbus H175, sekali gus mencerminkan perkembangan pesat kepakaran penerbangan luar pesisir di Sarawak sejak operasi pesawat itu diperkenalkan pada 2023. 

Pengiktirafan berkenaan disampaikan sempena HAS Safety Week 2026 yang berlangsung di Miri Helibase dari 14 hingga 17 Julai lalu. 

HAS menyediakan perkhidmatan pengangkutan kru luar pesisir dan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) kepada beberapa syarikat tenaga utama termasuk PETRONAS Carigali, Shell Malaysia, TotalEnergies, Mubadala Energy, ENEOS, PTTEP dan SK Earthon di Sarawak, yang merupakan antara kawasan operasi minyak dan gas paling sibuk di negara ini. 

Pengarah Urusan HAS International Sdn Bhd, Hasery Bakar berkata, pencapaian tersebut bukan hanya mencerminkan pengalaman penerbangan yang dikumpulkan para juruterbang, malah membuktikan tahap kematangan operasi yang telah dibangunkan syarikat dalam menyokong industri tenaga luar pesisir.

"Persekitaran operasi kami menuntut lebih daripada sekadar jumlah jam penerbangan. Setiap hari, pasukan kami beroperasi di salah satu kawasan minyak dan gas paling sibuk di Malaysia, menyokong tujuh syarikat tenaga bertaraf dunia yang masing-masing menetapkan jangkaan operasi, standard jaminan dan keperluan keselamatan yang tinggi.

“Untuk mengekalkan prestasi secara konsisten dalam persekitaran sedemikian memerlukan tenaga kerja yang sangat kompeten, latihan yang ketat, penyelenggaraan yang berdisiplin serta budaya keselamatan yang tidak boleh dikompromi," katanya. 

Menurut beliau, pengiktirafan oleh Airbus itu turut mencerminkan kekuatan keseluruhan sistem sokongan syarikat melibatkan jurutera, juruteknik, pasukan operasi, keselamatan dan sokongan.

"Pengiktirafan daripada Airbus ini bukan sahaja membuktikan pengalaman yang telah dikumpulkan oleh para juruterbang kami, malah mencerminkan kekuatan keseluruhan sistem yang menyokong mereka, daripada jurutera dan juruteknik sehinggalah kepada pasukan operasi, keselamatan dan sokongan. 

“Ia menunjukkan kepakaran khusus yang telah kami bangunkan di Sarawak serta sumbangan kami dalam memperkukuh keupayaan penerbangan negeri bagi menyokong aspirasinya untuk membangunkan ekosistem aeroangkasa yang berdaya saing di peringkat global dan ekonomi tenaga yang berdaya tahan serta bersedia untuk masa hadapan," katanya. 

HAS memaklumkan, sejak menjadi perintis operasi Airbus H175 di Malaysia pada 2023, syarikat itu berjaya membangunkan antara komuniti juruterbang H175 paling berpengalaman di rantau ini, sekali gus menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa dan tenaga Sarawak. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia, Axel de Pascal berkata pencapaian berkenaan mencerminkan tahap profesionalisme dan disiplin operasi tinggi yang ditunjukkan oleh HAS dalam melaksanakan misi helikopter luar pesisir.

"Airbus berbangga untuk mengiktiraf pencapaian para juruterbang HAS yang berjaya mencapai tanda aras penting jam penerbangan H175 ini," katanya. 

"Pencapaian ini mencerminkan tahap profesionalisme, disiplin operasi dan budaya keselamatan yang tinggi ditunjukkan HAS dalam melaksanakan misi helikopter luar pesisir. Kami berbesar hati meraikan pencapaian ini bersama-sama dan berharap kerjasama berterusan dapat diperkukuhkan dalam memajukan kecemerlangan operasi helikopter luar pesisir," katanya lagi. 

Program HAS Safety Week 2026 yang bertemakan Respond Right, Learn Always menghimpunkan pekerja, pelanggan, badan kawal selia serta rakan industri bagi memperkukuh kepimpinan keselamatan, budaya pembelajaran berterusan dan perkongsian amalan terbaik dalam sektor helikopter luar pesisir. 

Mengulas lanjut, Hasery menegaskan keselamatan akan terus menjadi asas kepada setiap operasi syarikat.

"Keselamatan bukan sekadar salah satu keutamaan kami, sebaliknya ia adalah asas kepada cara kami beroperasi," katanya. 

"Tanpa mengira kepantasan atau kerumitan operasi kami, komitmen untuk melindungi warga kerja, memberikan perkhidmatan yang selamat kepada pelanggan serta melakukan penambahbaikan berterusan tidak akan berubah. Komitmen inilah yang memberi keyakinan kepada pelanggan untuk terus mempercayakan setiap misi kepada kami," katanya.

Must Watch Video

Advertisement