MELAKA: Dakwaan kononnya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 sudah ditentukan lebih awal disifatkan sebagai memperlekeh kebijaksanaan pengundi untuk membuat pilihan sendiri.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata rakyat perlu diberikan ruang untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri tanpa menganggap keputusan pilihan raya sudah diketahui.
"Saya rasa itu sedikit merendahkan, terutama sekali merendahkan keupayaan pengundi untuk membuat keputusan," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.
Mengulas peluang Pakatan Harapan (PH), Adam Adli berkata gabungan itu masih mempunyai kekuatan asas untuk memberikan saingan berdasarkan perubahan pola sokongan pengundi sejak PRN 2021.
Katanya, meskipun PH hanya memenangi lima kerusi berbanding 21 kerusi Barisan Nasional (BN) ketika itu, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setahun kemudian menunjukkan perubahan sokongan di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, beliau berkata keyakinan itu tidak boleh dianggap sebagai jaminan kemenangan, sebaliknya usaha mendekati pengundi perlu diteruskan.
"Cuma kita tidak boleh katakan bahawa keyakinan terhadap angka tersebut semata-mata dah membolehkan kita bersenang-lenang dan merasakan bahawa pasti menang.
"Usaha harus diteruskan. Ini kita sentiasa pantau," katanya.
Dalam perkembangan sama, PH setakat ini mengumumkan penyertaan di 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, melibatkan 10 kerusi PKR, tujuh Amanah dan tujuh DAP.
Empat kerusi yang masih belum diumumkan calon PH ialah Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Bemban.
Adam Adli bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan atau pertambahan kerusi menjelang hari penamaan calon, bergantung kepada sentimen pengundi dan penilaian di peringkat akar umbi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November.