KUALA LUMPUR:Sebanyak 18 kes sindiket penyamaran sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dikesan melibatkan kerugian berjumlah RM636,311 hanya dalam tempoh 40 hari dari 1 Januari sehingga 9 Februari 2021.

LHDN dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan statistik berkenaan diperoleh daripada laporan berita mengenai kes-kes sindiket tersebut.

“Taktik dengan menakut-nakutkan menyebabkan mangsa panik dan akhirnya terpaksa mengambil tindakan terburu-buru dengan menyerahkan butiran peribadi dan perbankan.

“Malah, ada yang secara sukarela membuat bayaran wang tunai kepada ahli sindiket,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, LHDN meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada serta menasihatkan ahli keluarga mengenai sindiket tersebut.

Orang ramai juga dinasihatkan melakukan pengesahan dengan pihaknya terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan, e-mel atau surat yang meragukan berhubung urusan LHDN.

Pengesahan boleh dilakukan menerusi talian Hasil Care Line (03-8911 1000), portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.

Di samping itu, orang ramai turut boleh menyemak semakan modus operandi sindiket penipuan di pautan berikut: http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_un it=2&bt_sequ=1