KUALA LUMPUR: Seramai 188 penjawat awam ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan daripada jumlah itu, empat daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Menurut kenyataan itu, penjawat awam berkenaan adalah sebahagian daripada 62,132 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dan racun dalam tempoh itu selain rampasan pelbagai dadah, daun serta air ketum bernilai RM213 juta.

"JSJN berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 7,917 kilogram (kg), 1,379 liter pelbagai jenis cecair dadah, 31,856 kg daun ketum dan 21,243 liter air ketum.

"JSJN turut berjaya menumpaskan 118 sindiket yang melibatkan 366 tangkapan individu serta membongkar empat makmal dadah. JSJN turut menahan empat ahli kimia serta menyita pelbagai aset milik sindiket bernilai RM32.8 juta manakala RM2.7 juta nilai harta yang telah dilucuthak," menurut kenyataan itu.

Selain itu, JSJN memaklumkan seramai 2,669 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang telah dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 dengan seramai 1,533 daripadanya disabitkan kesalahan dalam tempoh berkenaan.

JSJN juga memberitahu dalam tempoh berkenaan, sebanyak 25,331 kertas siasatan dibuka dengan 22,753 daripadanya berjaya dituduh di mahkamah.

-- BERNAMA