MENLO PARK: Meta mengumumkan pengenalan ciri baharu dikenali sebagai AI Mode dalam platform Facebook bagi membolehkan pengguna mendapatkan jawapan secara langsung seperti enjin carian.
Langkah itu mencerminkan kecenderungan industri teknologi yang semakin beralih kepada integrasi kecerdasan buatan dalam aplikasi harian, lapor Amanz.
Menurut Meta, AI Mode memanfaatkan keupayaan Meta AI untuk menyusun jawapan berdasarkan kandungan yang dikongsi di Facebook termasuk Reels dan Groups.
Syarikat itu berkata ciri berkenaan mampu membekalkan jawapan lebih relevan dengan mengambil kira pendapat serta pengalaman pengguna lain, berbanding hasil carian tradisional.
Selain itu, Meta turut memperkenalkan keupayaan menjana video montaj secara automatik menggunakan kandungan daripada galeri peranti.
Meta AI juga kini mampu mengubah suai imej dengan menukar pakaian individu kepada jersi rasmi pasukan bola sepak yang bertanding dalam Piala Dunia 2026.
Kedua-dua ciri tersebut memanfaatkan teknologi AI untuk mempermudah tugasan visual secara automatik yang sebelum ini dilakukan secara manual.