Skip to main content

Bisnes

Permintaan kandungan tempatan, penstriman pacu prestasi berdaya tahan Astro

Logo Astro
Astro optimis untuk terus memacu pertumbuhan jangka panjang serta mencipta nilai mampan kepada pelanggan dan pemegang taruh.

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) memulakan tahun kewangan 2027 (FY27) dengan prestasi berdaya tahan, didorong permintaan kukuh terhadap kandungan tempatan serta peningkatan penglibatan penstriman merentasi platformnya.

Dalam satu kenyataan, Astro mencatat tahap tontonan tinggi pada suku pertama tahun ini, khususnya sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama hiburan bersama rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan itu, kandungan tempatan dan vernakular terus mendominasi dengan menyumbang 84 peratus daripada keseluruhan tontonan di semua platform Astro, mencerminkan daya tarikan berterusan kisah tempatan serta kedudukannya sebagai peneraju pencipta dan pengagregatan kandungan negara.

Prestasi kandungan terus memberangsangkan apabila enam judul Astro tersenarai dalam Top 10 Netflix Malaysia, iaitu "Good Boys Go To Heaven", "Bapa Mentuaku Mafia", "One Cent Thief: Season 2", "Generasi Perfect 10", "Thariq Rizwan" dan "Bahagia Tertangguh".

Kesemua judul ini turut menembusi pasaran di 10 negara ASEAN, sekali gus memperlihatkan keupayaan Astro memperluas capaian kandungan tempatan ke peringkat serantau.

Selain itu, Astro Shaw meneruskan momentum kejayaan dengan dua filem pecah panggung berturut-turut, iaitu "Malaikat Malam" dan "Tarung: Unforgiven", yang masing-masing meraih kutipan box office RM14 juta dan RM23 juta.

Astro kekal sebagai destinasi utama hiburan sepanjang musim perayaan apabila drama "Andai Itu Takdirnya 2" mencatat 131 juta tontonan, selain 156 juta tontonan di media sosial.

Program khas seperti "Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani" serta liputan pertunangan #BellaSyedYes turut mencatat 130 juta tontonan keseluruhan dan 121 juta tontonan media sosial, menyumbang kepada peningkatan trafik dan keterlibatan pengguna.

Dalam segmen sukan, liputan "BWF All England Championship" merekodkan 85 juta tontonan, manakala kejohanan bola sepak premium seperti "AFC Champions League Elite" dan "AFC Asian Cup Qualifiers" terus menarik minat penonton.

Astro turut memperkukuh ekosistem hiburan melalui integrasi platform dengan kerjasama penyedia OTT seperti Netflix, Disney+ dan Amazon Prime Video di bawah pakej Astro One, selain penawaran tambahan seperti Blockbuster Pack.

Platform penstriman Sooka menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila pelanggan VIP berbayar meningkat 29 peratus tahun ke tahun dengan kira-kira 975,000 pengguna aktif bulanan.

Jumlah minit penstriman pula melonjak 48 peratus kepada hampir 2.0 bilion minit, mencerminkan peningkatan penglibatan digital dalam kalangan pengguna.

Selain itu, Astro Audio mengekalkan kedudukannya sebagai rangkaian audio terkemuka negara dengan capaian 16.2 juta pendengar mingguan merentasi platform FM dan digital.

Astro juga terus memacu impak sosial menerusi inisiatif seperti Astro Kem Badminton yang melibatkan lebih 1,900 pelajar, serta program pembangunan sukan akar umbi lain yang membabitkan ribuan pelajar di seluruh negara.

Dalam aspek kelestarian, Astro meneruskan program Rimba Kita dengan pelaksanaan EcoSchools, termasuk projek di SK Kuala Pomson bagi memperkasa pendidikan alam sekitar dalam kalangan pelajar.

Bagi suku pertama, Astro mencatat perolehan RM660 juta, EBITDA RM133 juta dengan margin 20 peratus, aliran tunai bebas RM100 juta dan keuntungan bersih selepas kepentingan minoriti (PATAMI) RM2 juta.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Dr Grace Lee, walaupun berdepan tekanan kos sara hidup dan perubahan corak perbelanjaan pengguna, Astro kekal berdaya tahan hasil kekuatan kandungan tempatan, ekosistem hiburan bersepadu serta pelaksanaan strategi jangka panjang yang berdisiplin.

“Kumpulan kekal fokus memperkukuh penawaran nilai kepada pelanggan, mengembangkan perniagaan berkaitan dan melabur dalam kandungan serta penstriman,” katanya.

Astro menegaskan komitmennya untuk terus menyeimbangkan transformasi digital dengan pengurusan kewangan berhemah, disokong kedudukannya sebagai pencipta, agregator dan pengedar kandungan utama negara.

Astro optimis untuk terus memacu pertumbuhan jangka panjang serta mencipta nilai mampan kepada pelanggan dan pemegang taruh.

 

Must Watch Video

Advertisement