KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan pertambahan 1,166 kes COVID-19 baharu hari ini, termasuk 19 bayi berusia bawah setahun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan, 89 kanak-kanak dijangkiti COVID-19 termasuk 70 berusia satu hingga lima tahun.

Katanya, selain itu 69 pesakit lagi adalah golongan warga emas.

Dalam kenyataan media hari ini, Masidi berkata, 213 kes atau 18.2 peratus daripada keseluruhan kes baharu merupakan jangkitan yang berlaku ke atas golongan telah divaksinasi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 92 individu telah lengkap dua suntikan vaksin manakala 121 individu lagi telah menerima satu dos suntikan.

"Selain itu, 304 kes (26.1 peratus) merupakan jangkitan dalam golongan yang tidak layak vaksin, manakala 649 kes (55.7 peratus) adalah golongan yang masih menunggu giliran untuk vaksinasi.

"Pecahan angka mengikut umur turut memperlihatkan golongan aktif berumur 18 hingga 59 tahun sebagai kumpulan yang mencatat kes paling tinggi dengan 793 kes.

"Ia diikuti golongan berusia enam hingga 71 tahun dengan 215 kes," katanya dalam kenyataan media laporan harian COVID-19 bagi negeri itu, pada Isnin.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata satu kluster baru melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja telah dikesan iaitu tapak binaan hidro dalam Mukim Kuala Tomani.

"Kluster yang dikenali sebagai Kluster Sibulu, Tenom itu melibatkan seorang jurumampat lelaki, 46 tahun, bukan warganegara, dan tinggal di Kem 3, Sibulu.

"Kes indeks mula bergejala sejak 24 Julai sebelum disahkan positif di Klinik TMC Tenom pada 27 Julai dan telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut," katanya lagi.

Kluster ini telah mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 55 kes setakat hari ini.

Sementara itu, Sabah hari ini turut merekodkan pertambahan tiga kes kematian, semuanya dilaporkan dari daerah Kota Kinabalu.