YAPEIM sasar kutip RM70 juta dana infak tahun ini - Zulkifli

Dr Zulkifli (tengah) ketika gimik Pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 Sempena Majlis Perhimpunan Warga Kerja YAPEIM 2026 di Cyberjaya hari ini. - Gambar Bernama
CYBERJAYA: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyasarkan kutipan dana infak sebanyak RM70 juta tahun ini menerusi pelancaran inisiatif Tahun Infak YAPEIM 2026, yang diperkenalkan bagi memperkukuh peranan yayasan itu dalam pengurusan dana infak di negara ini.
Ringkasan AI
- YAPEIM menetapkan sasaran kutipan dana infak sebanyak RM70 juta untuk tahun ini melalui pelancaran inisiatif Tahun Infak YAPEIM 2026 bagi memperkukuh peranan yayasan dalam pengurusan dana infak di Malaysia.
- Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan menyatakan inisiatif tersebut bertujuan memperluas penyertaan penyumbang dari individu dan badan korporat serta mengukuhkan budaya infak dalam masyarakat secara teratur dan berkesan.
- YAPEIM berusaha meningkatkan keyakinan pemegang taruh, memastikan sumbangan memberi impak yang jelas, dan menegaskan peranannya sebagai institusi infak pilihan utama negara, sejajar dengan aspirasi untuk membentuk ekosistem infak yang lebih inklusif dan berkesan.
"Ini menunjukkan YAPEIM bukan sekadar menyalurkan sumbangan tetapi turut membangunkan kapasiti ekonomi umat Islam," katanya selepas melancarkan inisiatif Tahun Infak YAPEIM 2026 di sini hari ini.
Zulkifli berkata inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh semula budaya infak sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan masyarakat, selain menyokong pembangunan ekosistem pendanaan sosial negara secara mampan.
"Sebab itu kami melihat YAPEIM bukan sekadar peneraju dari segi intelektual, dari segi penghasilan ilmu, tetapi melaksanakan apa yang diaspirasikan. YAPEIM sebagai peneraju kepada pelaksanaan ekonomi manusiawi dan ia sesuai dengan nama yayasan ini," katanya.
Zulkifli berkata YAPEIM yang dipertanggungjawabkan sebagai agensi mengurus dana infak secara berstruktur telah mengambil pendekatan progresif bagi memperluas penyertaan penyumbang, meningkatkan keyakinan pemegang taruh serta memastikan setiap sumbangan memberi impak jelas dan terukur kepada kumpulan sasar.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri dalam ucapan semasa pembentangan Belanjawan 2026 menekankan ekonomi Islam itu mesti memberikan kerahmatan, mesti memberikan keadilan dan juga kesinambungan kepada semua. Jadi YAPEIM telah mengorak langkah memperkukuhkan lagi perniagaan dan juga aspek-aspek lain," katanya.
Pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 turut selari dengan aspirasi untuk mengangkat YAPEIM sebagai institusi infak pilihan utama negara menerusi peningkatan kutipan dana, pengukuhan kerjasama strategik dan perluasan liputan program merentas lapisan masyarakat.
Usaha itu dijangka dapat menyumbang kepada pembentukan ekosistem infak yang lebih mampan, inklusif dan berkesan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi ummah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


