19 depoh mini perkukuh kesiapsiagaan banjir di Kelantan

Langkah itu antara lain bertujuan memastikan bekalan asas di semua pusat pemindahan sementara (PPS) berada pada tahap optimum. Gambar kejadian banjir yang melanda Rantau Panjang beberapa tahun lalu. - Gambar fail Bernama
KOTA BHARU: Sebanyak 19 depoh mini penyimpanan barang bantuan telah mula beroperasi di seluruh jajahan di Kelantan, disokong 180 pangkalan hadapan yang diwujudkan tahun ini, sebagai usaha kerajaan negeri memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.
Langkah itu bertujuan memastikan bekalan asas di semua pusat pemindahan sementara (PPS) berada pada tahap optimum serta memastikan penghantaran bantuan tidak terganggu ketika banjir berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Rohani Ibrahim, berkata, jumlah pangkalan hadapan meningkat berbanding 160 lokasi tahun lepas bagi memastikan kesinambungan penghantaran bekalan.
Beliau berkata, proses penghantaran bekalan ke semua lokasi telah dimulakan sebulan lalu dan kini selesai sepenuhnya, merangkumi stok makanan basah dan kering, makanan retort, gula, garam, selimut serta pelbagai peralatan keperluan asas untuk menampung mangsa banjir pada bila-bila masa.
"Peruntukan keseluruhan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi persediaan banjir tahun ini mencecah RM3 juta, meliputi penyediaan makanan, kelengkapan asas dan sokongan logistik di PPS seluruh Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska Swasta 2025 di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Khamis.
Rohani berkata, di peringkat negeri terdapat satu depoh utama, manakala di peringkat jajahan, depoh mini berbentuk kontena berfungsi menampung bekalan kecemasan dan membekalkan pangkalan hadapan berhampiran PPS.
"Kita belajar daripada pengalaman tahun lalu. Untuk kawasan bermasalah, kita tambah baik pengurusan termasuk penyediaan senarai petugas, suntikan tifoid kepada tukang masak PPS serta penjadualan sukarelawan, dengan 10 hingga 15 petugas dapur ditempatkan di setiap PPS bersama saguhati disediakan Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri turut menyediakan laluan alternatif di kawasan berisiko tinggi, termasuk Kalbok 5, Rantau Panjang serta pembukaan akses sementara di Tanah Merah, bagi memastikan penghantaran bekalan dapat diteruskan sekiranya jalan utama terputus.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


