KUALA NERUS: Seramai 19 sekeluarga terpaksa tidur dalam keadaan digenangi air apabila kediaman mereka dilanda banjir sejak dua hari lepas.

Menurut Mansor Harun, 70, sistem perparitan yang tidak teratur menyebabkan kawasan Kampung Alor Damat, Wakaf Tengah sering banjir apabila hujan lebat.

Jelasnya kedudukan rumahnya di kawasan rendah menjadikan mereka antara mangsa banjir terawal.

Tambahnya lagi hujan lebat sejak Rabu membuatkan keadaan bertambah teruk dan ancaman haiwan berbisa menyebabkan Mansor dan keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Air hujan tidak dapat mengalir menyebabkan keadaan banjir, ular pun ada. Dua hari lepas anggota JPAM telah ke sini untuk menangkap seekor ular besar, jadi ia melibatkan bahaya.

"Kami terpaksa tinggal di sini dalam keadaan digenangi air selama dua hari," katanya.

Sementara itu, Azmi Ngah, 48, berkata dia hanya menyedari air mula melimpah hingga ke dalam rumah kira-kira jam tiga pagi Rabu.

"Setiap tahun memang keadaan begini berlaku, kami sentiasa terpaksa berpindah. Rumah kami ini di kawasan tanah rendah, memang menjadi laluan air banjir," katanya.

Terdahulu, hujan lebat yang melanda sejak Rabu menyaksikan Kuala Nerus menjadi daerah pertama dilanda banjir.

Bah yang melanda itu juga menyebabkan seramai 25 mangsa melibatkan lima keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, susulan itu sebuah PPS telah diaktifkan pada jam 4 petang Khamis.