Sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa hari ini, 1Malaysia for Youth (1M4U) akan menjalankan beberapa program sukarelawan secara serentak di beberapa lokasi di seluruh negara.

Pengurus Projek Hairul Ekzan berkata program itu selari dengan peranan 1M4U sebagai agensi ulung sukarelawan negara untuk memupuk semangat prihatin dan cintakan negara di kalangan rakyat.

"Selaras dengan hasrat kerajaan membentuk masyarakat yang saling bantu-membantu, IM4U telah melaksanakan beberapa strategi untuk memastikan aktiviti sukarelawan dipupuk dari sekarang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Melalui program itu, para sukarelawan diberi peluang meluaskan jaringan kerjasama dengan masyarakat, badan dan persatuan tempatan.

Antara program yang dirancang ialah aktiviti penanaman pokok bakau dan pokok hutan di sungai berdekatan di Arau, Perlis; membersihkan kawasan pantai di Hutan Lipur Pasir Panjang dan Teluk Kemang di Negeri Sembilan; dan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah di Sekolah Kebangsaan Tronoh, Perak.

Demi memastikan kelancaran program itu, beberapa institusi pengajian tinggi swasta termasuk Kolej Komuniti Arau, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas), Politeknik Seberang Perai, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Kuala Lumpur dan Kolej International KFCH bersetuju memberi kerjasama.

Selain itu, 1M4U akan turut dibantu badan dan persatuan seperti Majlis Belia Selangor, dan Persatuan Belia Dinamik Barat Negeri Sembilan.

1M4U turut mengambil inisiatif melancarkan aplikasi telefon pintar 1M4U bagi menghubungkan sukarelawan.

Ia boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store dan Google Play. Orang ramai juga boleh menghebahkan aktiviti itu dengan menggunakan hashtag #IVD2013, #IM4UAPP serta tag @IM4Youth.