Presiden dan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata, syarikat tersebut akan menjadi syarikat dorman (tidak aktif), jika aset dan anak syarikatnya diserahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Berikutan itu, katanya perbincangan mengenai status 1MDB akan dibuat bersama MKD dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya anak syarikat dan aset 1MDB diserahkan kepada MKD.

"Apabila kita lihat pelan rasionalisasi dan saranan PAC, jika anak syarikat dikeluarkan daripada 1MDB, 1MDB akan menjadi syarikat dorman.

"(Ini bermaksud) tiada operasi harian dan 1MDB hanya akan menerima aliran tunai oleh pelan rasionalisasi dan akan membayar hutang bon," kata beliau dalam satu temu bual khas yang disiarkan TV3 hari ini.

Ketika ini, 1MDB masih memiliki aset termasuk Tun Razak Exchange dan 40 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia.

Sementara itu, Arul Kanda menjelaskan bahawa tawaran perletakan jawatan enam ahli lembaga pengarah 1MDB bukan tindakan untuk melarikan diri, malah memberi ruang siasatan lanjut ke atas syarikat tersebut secara lebih terbuka dan telus.

1MDB memiliki lebihan tunai sebanyak RM2.96 bilion susulan jualan Edra Global Energy dan pelepasan kepentingan dalam Bandar Malaysia.

Mengulas lanjut, tiada peruntukan kewangan dan tiada pampasan atau bayaran yang diminta daripada kesemua enam ahli lembaga pengarah berkenaan termasuk dirinya.

"Pihak berkuasa atau pihak penguatkuasa telah diminta oleh PAC untuk meneliti laporan ini.

"Jika ada kesalahan maka tindakan boleh diambil. Jika saya sendiri didapati telah melakukan kesalahan, saya bersedia untuk menerima apa yang ditentukan oleh pihak berkuasa," kata Arul Kanda.