KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman mengakui beliau mempunyai niat untuk meninggalkan syarikat itu lebih awal, selepas mengesyaki terdapat salah laku dalam urus tadbir.

Ketika menyambung keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, niat itu dibatalkan memandangkan beliau telah diminta oleh Lembaga Pengarah untuk terus kekal.

Selain itu, Mohd Hazem berkata, biarpun terdapat unsur-unsur yang mencurigakan, beliau tidak berani untuk terus membangkitkannya kerana 1MDB ketika itu mempunyai kaitan dengan orang paling berkuasa di Malaysia iaitu (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya tak berani untuk bertanya lanjut. Sama ada awak kekal (dengan 1MDB) atau pergi,” katanya ketika disoal peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohamed di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, perbicaraan berhubung dana RM2.28 bilion 1MDB bersambung semula hari ini, selepas ia dikosongkan pada 3 Mei kerana salah seorang peguam Najib dikesan kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Kali terakhir berlangsung pada 11 Mac lepas, perbicaraan itu ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Najib dan pasukan pembelaan untuk melalui prosiding rayuan di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalah guna kuasa untuk mendapatkan dana RM2.28 bilion untuk diri sendiri, serta 21 pertuduhan penyelewengan melibatkan dana yang sama.

Dalam pada itu, Mohd Hazem berkata, biarpun dirinya mempunyai syak wasangka terhadap peranan serta arahan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho tentang 1MDB, beliau hanya berani membangkitkan persoalan terhadap pengerusi syarikat ketika itu iaitu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Ditanya mengapa tidak membangkitkan curiga itu terhadap Najib, Mohd Hazem berkata beliau tiada akses kepada bekas Perdana Menteri itu.