NATIONAL
1MDB: Editor Sarawak Report lega Najib Razak didakwa

Rewcastle-Brown, yang mendedahkan skandal 1MDB melibatkan dana berbilion ringgit berkata beliau berasa lega kerana pihak berkuasa akhirnya dapat menangani kes 1MDB selepas dua tahun. - Bernama
Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berkata hari ini beliau merasa amat lega selepas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa di mahkamah berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rewcastle-Brown, yang mendedahkan skandal 1MDB melibatkan dana berbilion ringgit berkata beliau berasa lega kerana pihak berkuasa akhirnya dapat menangani kes berkenaan selepas dua tahun.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Pelancaran Buku dan Bicara Sarawak Report di sini hari ini.
Ditanya sama ada bukunya setebal 528-halaman, 'The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose' akan diharamkan di negara ini, Rewcastle-Brown berkata beliau sedar tentang hal itu dan tentang sesetengah orang berpendapat bahawa buku itu mungkin menimbulkan prejudis terhadap perbicaraan kes 1MDB.
"Saya percaya peguam Najib akan menyekat sebarang laporan, termasuk buku saya sekarang atas alasan menghina mahkamah atau prejudis.
Warga Britain kelahiran Sarawak itu berkata kes itu mempunyai kepentingan awam yang besar di Malaysia, oleh itu rakyat tidak harus dibiarkan dalam keadaan tidak mengetahui langsung hal itu.
Pada Khamis, Najib didakwa buat kali ketiga atas kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2.6 bilion dari dana 1MDB.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami