Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sukar untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku dengan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau sendiri tertanya-tanya sekiranya laporan The Edge tidak boleh dipercayai, mana sumber yang sahih untuk mendapatkan penjelasan?

"Orang cakap dekat saya laporan The Edge tidak betul, jadi beritahu saya apa yang betul, tidak juga diberitahu sampai sekarang," kata Muhyiddin semasa berucap pada majlis penutup mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad malam.

Tambahnya, beliau juga terpaksa membaca The Edge untuk mendapatkan maklumat mengenai 1MDB.

"Kita tidak boleh menyalahkan orang yang dahagakan pengetahuan (mengenai 1MDB) kerana tiada kenyataan dari pihak kita untuk menjelaskan inilah situasi yang sebenar," tegas Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula Isnin (27 Julai) atas tiga sebab.

Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1MDB yang seterusnya berkait dengan kerajaan serta kepimpinan negara.

Kedua, laporan yang diterbitkan memetik sumber maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, dan yang mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam serta kepentingan negara.

Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan.

BACA: Sorotan seminggu isu 1MDB

Di majlis sama, Muhyiddin juga mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya berhenti menghentam bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Dr Mahathir bersikap kritikal dan lantang terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1MDB, kerana beliau menyayangi Najib.

"Lagi anda hentam lagi populariti beliau melonjak sehingga mencecah bumbung dan kedudukan kita pula jatuh," kata Muhyiddin.

Timbalan Presiden UMNO itu meluahkan pandangan bahawa sekiranya pilihan raya umum diadakan esok, Barisan Nasional akan kalah.

Muhyiddin menyatakan kebimbangan itu berdasarkan maklum balas masyarakat di peringkat akar umbi.

"Kalau ikut kata hati saya, kalau esok pilihan raya, kita tak mungkin boleh menang. Sudah ada asas-asas kajian yang dibuat banyak pihak yang menunjukkan adalah amat sukar untuk Barisan Nasional menang.

"Saya tanya bagaimana kalau perdana menteri bubar Parlimen adakah kita akan menang atau tidak, tidak ada seorang pun yang menjawab yakin untuk menang," kata Muhyiddin.