Laporan interim Ketua Audit Negara harus didedahkan kepada umum serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai selain menjelaskan isu berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), gesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Amatlah tidak adil dan tidak wajar untuk merujuk isi kandungan dokumen yang kononnya menyatakan tiada sebarang bukti salah laku, walhal orang ramai tidak boleh mengesahkan kesahihan kenyataan tersebut," kata beliau dalam sebuah kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meminta pengkritik 1MDB menghentikan dakwaan tidak berasas kerana laporan awal menunjukkan bahawa tiada unsur salah laku.

Menurut beliau, kenyataan Ahmad Husni itu bukan sahaja tidak memperjelaskan isu sebenar, malah ia menambah kekalutan dan cuba mengelirukan orang ramai.

"Ini kerana orang ramai dihalang dari membaca laporan tersebut. Bagaimana hendak menyimpulkan sama ada kenyataan Ahmad Husni itu benar atau palsu?

"Oleh kerana audit ini dilakukan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan sepenuhnya operasi dan pengurusan 1MDB kepada umum, maka saya menggesa agar Laporan Interim Ketua Audit Negara ini didedahkan kepada umum serta-merta," gesa Wan Azizah.

Tambahnya, orang ramai maklum bahawa dokumen tersebut hanyalah laporan interim dan Ketua Audit Negara belum boleh memberikan kata putus mengenai isu itu.

"Bagaimanapun, oleh kerana masalah yang timbul akibat 1MBD ini cukup berkait dan mendatangkan kesan kepada pasaran serta ekonomi, hingga mempengaruhi keputusan dan sentimen pelabur, maka Laporan Interim Ketua Audit Negara ini perlu didedahkan sekarang," kata beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menuduh Ahmad Husni berbohong apabila mengatakan laporan interim itu menunjukkan bahawa tiada unsur salah laku.