1MDB: Najib gagal kemukakan "penderma" RM2.3 bilion untuk sokong dakwaan "sumbangan" - Pendakwa raya

Najib berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mengemukakan "penderma" bagi dana berjumlah RM2.3 bilion, untuk menyokong dakwaannya bahawa wang itu merupakan "sumbangan" daripada Arab Saudi.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib ketika prosiding penghujahan pihak pendakwaan berkata keterangan bersumpah Najib tidak memberikan sebarang penjelasan yang kukuh berhubung perkara itu, sebaliknya, bekas perdana menteri itu hanya mendakwa bahawa beliau "percaya" wang tersebut merupakan sumbangan derma.
Beliau berkata Najib hanya bergantung kepada empat surat sumbangan yang didakwa itu tanpa mengemukakan sebarang penderma, dokumen sahih atau saksi yang menyokong, sebaliknya hanya menawarkan satu cerita yang telah dianggap oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, serta disahkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai "tidak boleh dipercayai", "sukar untuk dipertahankan", "tidak munasabah" dan "rekaan semata-mata" dalam kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkannya.
"Yang Arif, bukti menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai kepentingan peribadi secara langsung dalam keputusan yang dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau mendapat manfaat secara peribadi melalui dana yang dikesan masuk ke akaun bank peribadinya. Usahanya untuk menjauhkan diri daripada keputusan operasi dinafikan oleh bukti kontemporari yang menunjukkan campur tangan langsung.
"Seperti yang kami kemukakan berdasarkan bukti mengenai kelakuan tertuduh sepanjang tempoh berkenaan, kes pendakwaan kekal kukuh, jelas dan konsisten, manakala keterangan tertuduh bersifat mengelak, mementingkan diri dan dipenuhi percanggahan," kata Ahmad Akram.
Pihak pendakwaan berkata keterangan dikemukakan pendakwaan, sama ada secara lisan mahupun dokumen, kekal tidak dicabar dalam perkara-perkara utama dan para saksi tidak pernah berjaya disangkal, memandangkan keterangan mereka adalah konsisten serta saling mengesahkan antara satu sama lain.
Ahmad Akram turut menegaskan bahawa naratif pihak pembelaan adalah tidak munasabah, bercanggah dan tidak disokong oleh bukti, sambil menyatakan bahawa penjelasan tertuduh gagal untuk dipertahankan apabila dibandingkan dengan bukti kontemporari.
Beliau berkata ini termasuk masa dan corak kemasukan dana yang secara langsung bertepatan dengan urus niaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta komunikasi yang melibatkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang diketahui sepenuhnya oleh Najib dan daripadanya beliau mendapat manfaat peribadi.
Pendakwa raya itu turut menambah bahawa tidak terdapat sebarang pengesahan sebenar bagi dakwaan sumbangan daripada Arab Saudi yang disebut-sebut itu, dan tertuduh menunjukkan kegagalan sepenuhnya dalam menjalankan penelitian sewajarnya atau siasatan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang perdana menteri dan menteri kewangan, apabila menerima sejumlah wang yang begitu besar secara peribadi.
"Dalam kes ini, versi tertuduh tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan jauh sekali daripada menangkis anggapan berdasarkan keseimbangan kebarangkalian. Sebaliknya, ia mengukuhkan lagi naratif pendakwaan bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa secara sengaja untuk kepentingan peribadi," katanya.
"Oleh itu, dengan penuh hormat, kami mengemukakan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan semua elemen di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 melampaui keraguan munasabah. Anggapan di bawah Seksyen 23(2) telah digunakan dengan betul dan kekal tidak disangkal.
"Selain itu, keterangan tertuduh sama sekali tidak boleh dipercayai dan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah. Oleh demikian, dengan penuh hormat kami mengemukakan bahawa sabitan sepatutnya direkodkan," kata Ahmad Akram.
Dalam sesi pagi tadi, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menutup hujahnya selepas prosiding selama tujuh hari.
Pada 6 Mei, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 21 Okto bagi mendengar hujahan lisan.
Najib, 72, berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kesalahan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


