1MDB: Polis sahkan ambil keterangan Datuk Tawfiq Ayman

Nickyson Nyambar
April 15, 2021 13:50 MYT
Zainuddin berkata, Datuk Tawfiq Ayman dan seorang anaknya merakamkan percakapan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, hadir memberi keterangan berhubung siasatan penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, dalam satu kenyataan berkata, Datuk Tawfiq Ayman dan seorang anaknya merakamkan percakapan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini.
"Keterangan tersebut diambil bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.
BACA: Zeti nafi keluarga terbabit skandal 1MDB
BACA: Siasatan terhadap suami Zeti masih berjalan - PDRM
Beliau berkata, siasatan terhadap kes berkenaan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi di mana-mana platform sehingga siasatan selesai.
Tambahnya lagi, perkara berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan dan tindakan seterusnya.
Hari ini, beberapa media melaporkan Tawfiq dilihat hadir ke Menara KPJ dipercayai untuk memberi keterangan kepada polis selama kira-kira tiga jam.
Tawfiq disiasat berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1MDB yang dikatakan dalam akaun bank miliknya di Singapura.
Zeti yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini menafikan dakwaan bahawa keluarganya terlibat dalam skandal 1MDB.
#suami #bekas Gabenor Bank Negara #Zeti Akhtar Aziz #Skandal 1MDB #Tawfiq Ayman #beri keterangan #Bukit Aman #disiasat #pengubahan wang haram