Tan Sri Shukry Salleh hari ini disingkirkan dari jawatan beliau sebagai Pengerusi lembaga pengarah Bank Rakyat serta-merta.

Penyingkiran ini diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan melalui satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Madinah Abdullah telah mendakwa bahawa Shukry telah mengarahkan pasukan audit 1MDB untuk menggugurkan fakta-fakta penting dari Laporan Pengauditan Akhir 1MDB pada tahun 2015.

Madinah mendakwa, Shukry mengarahkan agar pembabitan Jho Low hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB digugurkan atas alasan mengelakkan pihak pembangkang (pada ketika itu) dari mempolitikkan isu ini.

Madinah turut mendakwa Shukry juga mengarahkan pasukan audit Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM) untuk menyembunyikan fakta mengenai keadaan kewangan 1MDB dalam laporan kewangan bagi tahun 2014 untuk syarikat 1MDB itu.

Shukry mampu mengarahkan pasukan audit untuk menyingkirkan fakta dari laporan audit kerana beliau menjawat jawatan Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Mengikut fahaman awam, Shukry mengarahkan penyembunyian fakta ini atas arahan Najib.

Peguam Najib bagaimanapun menyangkal tujuan dan motif pihak KAN mengeluarkan kenyataan di atas.

Shafee & Co, firma guaman yang mewakli Najib menyatakan bahawa "motif KAN berbaur politik dan mungkin bertujuan untuk membentuk persepsi negatif atas anak guaman mereka".

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyatakan bahawa mereka akan memulakan siasatan atas dakwaan yang dibuat oleh Madinah pada 25 November 2018. SPRM telah umum bahawa bekas KAN Tan Sri Ambrin Buang akan disoal siasat.

Kementerian Pembangunan Usahawan telah menyatakan bahawa penyingkiran Shukry dibuat selaras dengan Seksyen 5 Subperenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad 1978.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa sebab Shukry disingkir adalah kerana keterlibatan beliau dalam Laporan Asal Audit 1MDB.

Semua keputusan oleh Shukry sepanjang beliau menjadi memegang jawatan Pengerusi Bank Rakyat juga akan disemak semula dan dibatalkan sekiranya menjejaskan kepentingan Bank Rakyat, kata kenyataan itu lagi.

Menteri Pembangunan Usahawan dijangka akan mengumumkan pelantikan Pengerusi baru dalam jangka masa terdekat ini.