KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, mengetahui bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima sumbangan AS$100 juta daripada Arab Saudi ke dalam akaun peribadinya pada 2011.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang, 75, berkata, beliau yang memaklumkan perkara itu kepada Zeti dalam satu perjumpaan, sejurus selepas Najib membuka akaun di bank berkenaan.

"Saya yang membuat janji temu untuk berjumpa dengan Tan Sri Zeti. Tujuan perjumpaan itu adalah untuk memaklumkan bahawa terdapat pembukaan akaun Datuk Seri Najib dan penerimaan AS$100 juta daripada Arab Saudi. Dalam pertemuan tersebut, hanya kami berdua sahaja yang berbincang memandangkan perkara ini adalah rahsia dan melibatkan kepentingan Perdana Menteri.

"Adalah menjadi perkara penting untuk saya memaklumkan hal ini kepada Tan Sri Zeti, kerana ia melibatkan terma 'political exposed person', bermaksud ia melibatkan kepentingan negara. Tan Sri Zeti mengambil maklum perkara itu, dan meminta agar ia perlu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM sedia ada," katanya.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menceritakan mengenai pertemuan dengan Najib berhubung pembukaan akaun dan kemasukan AS$100 juta yang diadakan di kediaman tertuduh di Bukit Tunku, saksi itu berkata, Najib sendiri memberitahu kepadanya mengenai kemasukan wang daripada Arab Saudi.

"Saya berjumpa Datuk Seri Najib di ruang tamu dan memperkenalkan diri saya kepada beliau. Semasa itu, hanya kami berdua sahaja yang berbincang dalam pertemuan tersebut. Saya maklumkan bahawa saya membawa buku cek berserta surat akuan penerimaan, buku simpanan dan borang permohonan kad kredit. Beliau (Najib) telah mengambil dokumen tersebut dan menandatangani ruangan yang beliau perlu isi.

"Seterusnya beliau memaklumkan kepada saya bahawa akan ada kemasukan wang daripada Arab Saudi. Wang yang besar dalam mata wang AS iaitu berjumlah AS$100 juta. Saya tidak bertanya tujuan apa wang tersebut akan diterima oleh beliau, namun beliau sendiri menyatakan bahawa wang itu adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi untuk "Islamic activity" kepada beliau sendiri.

"Ini didengar sendiri oleh saya dan dimaklumkan secara lisan oleh Najib. Selang lima minit kemudian, saya terus pulang kerana beliau (Najib) agak sibuk dan kami tidak berbual apa-apa selain dari menyatakan perkara berhubung akaun dan transaksi yang akan berlaku," katanya.

Saksi itu menambah, selepas berjumpa dengan Zeti, beliau menyerahkan kesemua urusan pengoperasian kepada pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu dan Bahagian Operasi diketuai oleh Ross Foden.

Katanya, Ross Foden dan pasukannya telah bercadang untuk mengawal selia akaun Najib dengan menyediakan kod nama khas.

Cheah berkata, mereka mencadangkan agar diberi satu kod nama bagi akaun itu, memandangkan akaun tersebut adalah sensitif dan mengelak terjadi kebocoran maklumat, seperti mana Public Bank bagi kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

"Saya bersetuju dengan kod nama iaitu "AmPrivate Banking-MR" bagi akaun Najib bagi mengelak maklumat peribadi disalahgunakan. Saya diberi sepucuk surat untuk dihantar kepada Tan Sri Zeti dengan memasukkan kod nama "AmPrivate Banking-MR", dalam isi surat tersebut.

"Saya tidak tahu sama ada beliau (Najib) telah dimaklumkan berhubung kod nama tersebut ataupun tidak, namun, ia melibatkan dasar dalaman dan pengoperasian bank, maka memang di bawah tanggungjawab operasi untuk memilih kod nama tersebut," katanya.

Menurut Cheah, setelah menerima surat tersebut dari pihak operasi, beliau telah menandatangani surat itu dan dihantar kepada Zeti pada 9 Feb 2011.

"Tujuan surat ini dihantar adalah untuk memaklumkan berhubung kod nama tersebut iaitu "AmPrivate Banking- MR" dan bagi memudahkan pihak BNM memantau dan menyelia Sistem Ringgit Operations Monitoring System (ROMS).

"Saya tidak mahir sangat berhubung ROMS, tetapi setahu saya ia sistem yang diselia BNM," katanya sambil menambah kontraknya di AmBank tamat pada 1 April 2012.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BERNAMA