PUTRAJAYA: Seramai 2,200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan untuk melaksanakan pemeriksaan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan pengusaha stesen minyak tidak menjual petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal, tidak dibenarkan untuk mengisi petrol RON95 di seluruh negara, namun dibenarkan untuk mengisi minyak RON 97.

Beliau berkata terdapat laporan yang diterima daripada orang ramai dan media mengenai kenderaan dengan nombor pendaftaran asing mengisi minyak petrol RON95, khususnya di stesen minyak sempadan negara sejak Malaysia menerima kemasukan kenderaan asing susulan pembukaan pintu sempadan pada 1 April lepas.

Beliau berkata dalam mesyuarat antara KPDNHEP dan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia baru-baru ini, pihak persatuan telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan stesen minyak di Malaysia mematuhi perundangan berkaitan larangan penjualan RON 95 di seluruh stesen minyak di Malaysia.

"KPDNHEP memberi amaran keras kepada orang ramai dan juga pengusaha stesen minyak bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata pegawai penguat kuasa akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman (tidak memakai pakaian seragam) dalam melaksanakan penguatkuasaan itu.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), pengusaha stesen minyak yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

"Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan," kata Nanta.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran whatsapp 019-279 4317; portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; call centre 1-800-886-800; emel [email protected] dan aplikasi Ez ADU KPDNHEP.

-- BERNAMA