PUTRAJAYA: Sebanyak 2,444 kes demam denggi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) 20 iaitu dari 14 Mei hingga 20 Mei, meningkat 202 kes atau sembilan peratus berbanding 2,242 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi juga dilaporkan pada ME20 itu.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 43,619 kes berbanding 16,144 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan 27,475 kes atau 170.2 peratus.

"Sejumlah 28 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding sembilan kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Katanya 77 lokaliti 'hotspot' dilaporkan pada ME20 berbanding 87 lokaliti 'hotspot' pada minggu sebelumnya, dengan 51 lokaliti berada di Selangor, Pulau Pinang (14), Sabah (enam), Kuala Lumpur dan Putrajaya (tiga), Kedah (dua) dan Perak (satu).

Sementara itu, beliau berkata survelan chikungunya merekodkan satu kes di Kedah yang menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini adalah 131 kes, dan bagi survelan zika sebanyak 1,114 sampel darah dan 49 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata 2,178,264 premis telah diperiksa di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan 60,511 premis didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk dan 18 premis telah diarahkan tutup.

Menurutnya sebanyak 12,748 kompaun dikeluarkan dengan jumlah kutipan RM1,680,920, manakala 1,263 kes didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM825,530.

-- BERNAMA