KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengakui berlaku lambakan pekerja asing dalam negara,  melebihi unjuran yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud memberitahu, mengikut unjuran Kementerian Ekonomi, angka pekerja asing yang sepatutnya berada di Malaysia adalah 2.4 juta.

Namun menurutnya, menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, angka semasa itu kini mencecah 2.7 juta orang.

"Mengikut unjuran yang dibuat Kementerian Ekonomi, hanya 15 peratus pekerja asing dibenarkan berbanding dengan jumlah keseluruhan tenaga kerja.

"Sekarang ini, kita sudah melangkaui jumlah pekerja asing di negara ini, berlaku lambakan. Sepatutnya unjuran dalah 2.4 juta, namun dengan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, setakat ini sudah 2.7 juta pekerja asing yang berada di negara ini secara fizikal," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).

Justeru, Mustapha berkata, kerajaan perlu memikirkan mekanisme sesuai untuk memastikan penggunaan teknologi baharu, automasi selain melahirkan bakat-bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri.

Terdahulu, menjawab soalan asal Yusuf Abdul Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai jumlah pekerja binaan asing yang tertunggak untuk sektor pembinaan dan perancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah tunggakan itu, beliau memberitahu, sehingga 18 Mac lalu, sebanyak 1,136,022 kuota penggajian pekerja asing telah diluluskan.

Daripada jumlah tersebut, jelasnya, sebanyak 359,989 kuota yang melibatkan 2,449 majikan, atau 31.68 peratus daripada keseluruhan kuota yang diluluskan adalah bagi sektor pembinaan.

"Unjuran keperluan pekerja asing bagi sektor pembinaan oleh Agensi Kawal Selia semasa pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing adalah sebanyak 301,000.

"Dalam hal ini, sehingga 9 Oktober lalu, data kemasukan pekerja asing bagi sektor pembinaan yang diperolehi daripada Kementerian Dalam Negeri adalah seramai 222,230 orang," tambahnya.

Beliau turut menjelaskan peranan Kementerian Sumber Manusia dalam proses penggajian pekerja asing ini adalah dari aspek menerima permohonan, memproses permohonan dan kelulusan kuota sementara kemasukan pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.