KENINGAU: Sebanyak 2.8 juta dos vaksin jenama Pfizer dan dos tunggal vaksin jenama Cansino bakal diterima secara berperingkat oleh negeri Sabah bermula bulan Ogos ini. 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang mengesahkan perkara tersebut pada Selasa berkata, pemberian dos berkenaan diutamakan kepada penerima vaksin di kawasan pedalaman, pulau-pulau dan ladang-ladang di seluruh negeri itu terlebih dahulu sebelum disalurkan ke kawasan lain.

Bagaimanapun jelasnya vaksin jenama Cansino tersebut masih di peringkat permohonan.

"Kita telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberi atau membekalkan 1.8 juta dos jenama CanSino iaitu untuk satu dos sahaja bukan lagi untuk dua dos.

"Saya juga dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa pada awal bulan depan kita akan menerima 1 juta dos jenis Pfizer.

"Ini akan kita gunakan untuk penduduk kampung yang jauh di pedalaman, luar bandar, pulau dan juga pekerja-pekerja ladang.

"Jadi dengan adanya bekalan vaksin yang cukup, kita yakin kita boleh dapat menyuntik lebih ramai rakyat kita di negeri Sabah ini," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Keningau pada Selasa.

Jelasnya lagi, dos vaksin berkenaan akan turut diberikan kepada bukan warganegara yang berada di kawasan-kawasan yang dinyatakan tersebut.

Menyentuh berkenaan bantuan Hajiji berkata setakat 26 Julai 2021 kerajaan negeri Sabah telah menyalurkan bantuan tunai kepada 303,120 penerima.

"Selain dari itu saya juga ingin memaklumkan setakat ini kerajaan negeri telah memberi bantuan one-off secara tunai kepada 303,120 orang penerima iaitu lebih kurang 84 peratus penerima yang layak menerima bantuan.

"Setakat 26 Julai, kesemua bantuan tersebut menelan belanja lebih kurang RM88,015,000 dan kita telah
menyediakan peruntukan sebanyak RM120 juta untuk tujuan ini." jelasnya.