Zed Zaidi terus terajui Seniman, fokus kebajikan dan pendigitalan

Pelakon Zed Zaidi kekal menerajui Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sebagai Presiden bagi penggal 2025 hingga 2028 selepas menang dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 persatuan itu, hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelakon Zed Zaidi kekal menerajui Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sebagai Presiden bagi penggal 2025 hingga 2028 selepas menang dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-24 persatuan itu, hari ini.
Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 45, berkata pemilihan semula itu mencerminkan keyakinan ahli terhadap kepimpinan yang berteraskan keupayaan melaksanakan tanggungjawab, bukan semata-mata populariti.
"Sekarang ini mereka (ahli Seniman) bukannya mencari yang ada nama sahaja, malah yang boleh buat kerja dan ahli nampak hasil kerja kita dengan jawatankuasa yang lain (sebelum ini)," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sepanjang menerajui Seniman sejak 2012, fokus utama diberikan kepada kebajikan ahli, termasuk isu peluang pekerjaan, perumahan dan perlindungan sosial, selain memperjuangkan dasar yang memberi kesan kepada kelangsungan hidup warga seni.
Zed Zaidi berkata antara perancangan utama bagi penggal baharu ialah pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dalam industri seni, penubuhan badan kutipan royalti khusus untuk pelakon serta usaha mendigitalkan pengurusan Seniman.
"Kita mahu mendigitalisasikan Seniman, terutama pendaftaran dan mewujudkan talents bank untuk mencipta peluang pekerjaan secara digital kepada ahlinya," katanya.
Beliau turut memaklumkan persatuan itu sedang menggerakkan penambahan keahlian sukarelawan di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi Briged Seni Kreatif, selaras dengan hasrat Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, dengan sasaran 1,200 ahli bagi membantu ketika berlaku bencana.
Pada AGM berkenaan, Rena Tan dipilih sebagai Timbalan Presiden, Hafiz Nafiah sebagai Setiausaha Agung dan Salman Al-Farisi menjadi Penolong Setiausaha, manakala jawatan Bendahari disandang oleh Zarina Mohd Nor.
Selain itu, Datuk Subash Sundamoorty, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Zamshuri Ramli, Lisdawati, Ezlynn Arifin, Zizan Nin dan Marisa Yasmin masing-masing dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa bagi penggal berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


