KUALA LUMPUR: Hampir 2.8 juta pekerja informal dijangka berdepan dengan risiko kehilangan punca pendapatan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, sekiranya sektor ekonomi ditutup, bilangan rakyat yang menggangur pula dijangka mencecah satu juta.

"Kesan PKP menyeluruh akan lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal.

"Kita juga perlu ingat bahawa sektor pembuatan dan perkilangan juga menggaji ramai rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah," katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Sabtu.

Tengku Zafrul turut menegaskan, PKP penuh bukan sahaja akan  meningkatan pengangguran tetapi juga mendatangkan kemudaratan kepada rakyat termasuk impak sosial yang akan mengambil masa yang lama untuk diperbaiki.

"Semasa PKP 1.0, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil semasa, 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih dan dua daripada tiga perniagaan mempunyai atau akan menanggung tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan.

"Oleh itu, jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengimbangi antara melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah secara PKP yang bersasar dan dipeketatkan dan bukan PKP secara menyeluruh," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan terus komited untuk meneruskan pelbagai bantuan bersasar bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas.

Antaranya kata beliau, bantuan RM4.68 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang memanfaatkan 8.4 juta penerima B40.

Program peningkatan kemahiran dan bakat pula katanya, memberi peluang pekerjaan bagi 137,290 orang.

Menurut beliau, subsidi upah membantu lebih daripada 330,000 majikan dalam mengekalkan 2.7 juta pekerjaan.

Tambahnya, bagi sektor perniagaan pula, masih terdapat dana pinjaman mudah untuk PKS sebanyak RM5.2 bilion daripada Bank Negara Malaysia (BNM)  dan kemudahan jaminan pinjaman berjumlah RM 39 bilion melalui Skim Jaminan Danajamin PRIHATIN.

"Bagi PKS mikro, Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM0.9 bilion telah disalurkan dan selanjutnya, pada bulan Jun 2021, GKP3.0 sebanyak RM1 billion (atau RM1,000 kepada 1 juta PKS mikro) akan dibayar.

"Bantuan bayaran balik bersasar pula daripada 1.6 juta permohonan, 95 peratus telah diluluskan," ujarnya.