PARIT BUNTAR: Dua nelayan ditemukan lemas selepas bot masing-masing tenggelam dipukul ribut dalam kejadian berasingan di perairan Tanjung Piandang dan Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata mayat Yeap Bee Hin, 65, ditemukan terapung pada jam 3.30 petang selepas operasi mencari dan menyelamatnya diaktifkan pada jam 11.30 pagi tadi.

Beliau berkata Yeap yang merupakan tekong bot dilaporkan turun ke laut bersama dua individu lain, awal pagi tadi dan operasi mencarinya di sekitar perairan Sungai Baru Tanjung Piandang itu turut disertai Jabatan Perikanan, Pasukan Polis Marin serta beberapa nelayan.

Mohd Sharenliza berkata mayat Tan Eng Thang, 59, pula ditemukan pada jam 6.05 petang selepas operasi mencari dan menyelamatkannya dimulakan pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi di perairan Kuala Kurau.

"Tan yang juga tekong bot dilapor hilang awal hari ini selepas bot dinaikinya bersama lima individu lain terbalik di perairan itu," katanya yang ditemui di Jeti Pasukan Polis Marin di Kuala Kurau, di sini hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-dua lelaki itu diserah kepada polis dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

-- BERNAMA