MIRI: Sejumlah 20 daripada 25 Seksyen daripada kesemua sebelas Pakej Kontrak Kerja (WPC) Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak dijadualkan siapa penghujung tahun ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf bagaimanapun berkata, lima lagi seksyen selebihnya dijangka siap pada April, suku pertama tahun 2023.

Seksyen-seksyen tersebut merangkumi Seksyen Bukit Begunan (WPC4), Seksyen Spaoh (WPC5), Seksyen Sarikei (WPC6), Seksyen Tatau (WPC9) dan Seksyen Lambir (WPC11).

“Pemantauan rapi oleh JKR Sarawak perlu di Seksyen Bukit Begunan yang agak mencabar, rekaan jalan perlu diolah semula akibat perubahan keadaan tanah yang tidak sesuai.

“Ini perlu dilihat semula dengan menggunakan kaedah yang baru bagi memastikan tidak berlaku keruntuhan, kerana kali pertama dibuat dahulu berlaku keruntuhan tanah dan sebagainya, maka akan ada seksyen yang siap sepenuhnya hujung tahun ini dan beberapa pada April tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Jelajah FTRoadpedia Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Hotel Imperial Miri pada Sabtu.

Tambah Fadillah, antara penambahbaikan yang perlu dilaksanakan ialah untuk meningkatkan pengurusan trafik di sepanjang laluan Pan Borneo termasuk laluan sementara.

“Kita perlu memasang tanda-tanda jalan yang jelas untuk memberi amaran dan panduan kepada pengguna jalan raya bagi mengelakkan kemalangan dan juga memasang alat pemantul cahaya termasuk ciri keselamatan seperti penghadang jalan bagi mengelak kemalangan melibatkan jatuh gaung,” katanya.

Dalam masa yang sama, kerajaan pusat terus komited untuk meneruskan fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo dan telah meluluskan projek tersebut secara prinsip yang kini sudah dalam proses pelaksanaan.

“Kabinet telah meluluskan projek Trans Borneo ini secara prinsip iaitu laluan bypass negara Brunei Darussalam dengan tiga pakej, satu pakej dalam pelaksanaan iaitu di laluan Lawas ke Long Lopeng.

“Baki dua lagi pakej masih di bawah Kementerian Kewangan untuk menentukan kaedah perolehan juga seperti fasa dua Limbang-Lawas kita panggil sebagai Trans Borneo tanpa melepasi Kalimantan, Brunei Darussalam, kemudian masuk ke Sabah,” ujarnya.

Setakat ini, projek LPB Sarawak fasa satu sejauh 768 kilometer itu telah siap sebanyak 85 peratus dengan satu daripada 11 pakej telah siap sepenuhnya iaitu WPC1 untuk laluan Telok Melano ke Sematan sepanjang 32.77 kilometer.