Skip to main content

Malaysia

2,000 botol air mineral terpakai jadi replika KLCC sempena Hari Kebangsaan

KOTA BHARU, 30 Ogos -- Penduduk melaungkan "Merdeka" di hadapan replika Menara Berkembar Petronas yang dihiasi Jalur Gemilang bagi menghangatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh hari ini.
Penduduk melaungkan "Merdeka" di hadapan replika Menara Berkembar Petronas yang dihiasi Jalur Gemilang bagi menghangatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Keterujaan menyambut Hari Kebangsaan mendorong sekumpulan penduduk Kampung Machang Limbat, Pasir Tumboh di sini menghasilkan replika Menara Berkembar Petronas (KLCC) setinggi enam meter menggunakan kira-kira 2,000 botol air mineral terpakai.

Ketua projek Mohd Faizal Ibrahim, 40, berkata idea menghasilkan replika mercu tanda negara itu tercetus selepas melihat masih tidak ramai penduduk memasang Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

“Daripada situ timbul idea untuk membangkitkan semangat Hari Kebangsaan dengan mengajak rakan-rakan sekampung menghasilkan replika KLCC sebagai simbol kemajuan yang dikecapi negara selepas kemerdekaan.

“Sebanyak 15 orang terlibat dalam projek ini dan kami mula melakukannya pada 18 Ogos sebelum ia berjaya disiapkan sepenuhnya hari ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Machang Limbat hari ini

Beliau berkata botol itu diperoleh daripada pusat kitar semula dengan harga RM1 sekilogram bagi botol plastik berkapasiti 500 mililiter sebelum digunakan sebagai bahan utama pembinaan replika berkenaan.

Beliau berkata selain replika KLCC, mereka turut menghasilkan mural bertemakan kemerdekaan bagi memeriahkan lagi suasana sambutan di kampung berkenaan.

“Keseluruhan kos untuk menghasilkan mural ini mencecah kira-kira RM2,000 dan ia diusahakan secara gotong-royong oleh penduduk kampung,” katanya.

Ahli kumpulan Mohd Zulikhwan Azhar, 28, berkata pembinaan replika itu juga bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak di kampung berkenaan melihat sendiri simbol kemajuan negara yang sebelum ini hanya dapat disaksikan menerusi televisyen atau buku.

“Kami harap usaha kecil ini dapat menanam rasa cinta dan memberi kefahaman kepada generasi muda bahawa kemerdekaan yang dinikmati hari ini membolehkan negara terus berkembang dan maju,” katanya.

Seorang penduduk kampung Mohamad Asyraf Pakhrurazi, 30, pula berkata usaha yang dilakukan itu adalah antara contoh kreativiti masyarakat setempat dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan, selain memupuk semangat gotong-royong dan kesedaran mengenai kepentingan barangan kitar semula dalam kalangan penduduk.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement