Skip to main content

Malaysia

2,135 kes tangkapan jenayah syariah direkodkan di Kelantan

Mohd Asri berkata penguatkuasaan undang-undang syariah di Kelantan dilaksanakan berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang mula berkuat kuasa pada 1 Nov 2021. - Gambar Facebook Mohd Asri Mat Daud
Mohd Asri berkata penguatkuasaan undang-undang syariah di Kelantan dilaksanakan berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang mula berkuat kuasa pada 1 Nov 2021. - Gambar Facebook Mohd Asri Mat Daud
Advertisement

KOTA BHARU: Sebanyak 2,135 kes tangkapan berkaitan kesalahan jenayah syariah direkodkan di Kelantan, dalam tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025, dengan kes khalwat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,446 kes.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata statistik itu, merupakan hasil tindakan penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), menerusi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah.

Beliau berkata selain khalwat, sebanyak 435 kes membabitkan perbuatan atau percakapan tidak sopan direkodkan, diikuti hamil luar nikah (84 kes), mendedahkan aurat di tempat awam (55 kes) dan tidak menghormati Ramadan (25 kes).

Advertisement

“Sebanyak 21 kes pula melibatkan lelaki berlagak seperti perempuan, tiga kes perempuan berlagak seperti lelaki, tiga kes menggalakkan kemungkaran, manakala 63 kes lagi membabitkan pelbagai kesalahan lain.

“Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, kes khalwat melibatkan golongan remaja merupakan kesalahan paling banyak sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama), mengenai jumlah tangkapan berkaitan kesalahan syariah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Advertisement

Mohd Asri berkata penguatkuasaan undang-undang syariah di negeri ini dilaksanakan berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang mula berkuat kuasa pada 1 Nov 2021.

Enakmen itu mengandungi 68 seksyen, namun 16 daripadanya dibatalkan pada 2024, menjadikan 52 seksyen masih berkuat kuasa dan boleh dilaksanakan pihak berkuasa agama negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi dasar Membangun Bersama Islam, terus memperkukuh pelaksanaan undang-undang syariah meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekangan dalam pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah.

“Bagi tahun ini, kesalahan berkaitan percakapan tidak sopan turut menunjukkan peningkatan yang perlu diberi perhatian, khususnya di jajahan Kota Bharu yang merekodkan 282 kes, diikuti Bachok (233 kes),” katanya.

Mohd Asri berkata usaha penguatkuasaan bukan sekadar tertumpu kepada tindakan tangkapan dan hukuman, malah turut merangkumi langkah pencegahan serta peningkatan kesedaran masyarakat mengenai pematuhan undang-undang.

Sehubungan dengan itu, JAHEAIK mengadakan perbincangan dengan agensi strategik termasuk Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan, bagi mempergiat program kesedaran dan pencegahan.

“Taklimat berkaitan undang-undang syariah juga diberikan secara berterusan di institusi kerajaan negeri dan Persekutuan, serta institusi pendidikan termasuk sekolah bagi memastikan masyarakat memahami peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement