KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu selesai menyerahkan semula 222 motosikal yang disita melibatkan peserta RXZ Members 8.0 selepas semua proses dokumentasi dan pengeluaran saman disempurnakan mengikut prosedur.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, penyerahan semula motosikal itu dilaksanakan dengan jayanya secara berperingkat pada 2 dan 3 Ogos.
Menurutnya, kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dengan sebarang kes jenayah seperti rekod curi atau pendaftaran palsu.
Sebaliknya, penahanan dibuat atas pelbagai kesalahan teknikal dan pelanggaran undang-undang jalan raya.
Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada cermin sisi serta tiada lesen memandu yang sah.
Kesalahan lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, penggunaan aksesori yang tidak sempurna, tiada brek belakang serta memandu di bawah umur.
“Pemilik motorsikal mengakui kesalahan lalu lintas yang telah dilakukan, mereka juga memberi komitmen dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama pada penganjuran perhimpunan RXZ Members yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Mohd Khairi berkata, penyerahan motosikal yang disita hanya dilaksanakan selepas semua proses dokumentasi selesai dan saman berkaitan dikeluarkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Semua kenderaan telah diserahkan dan dibawa balik menggunakan kenderaan pengangkut (loader)," katanya lagi.
Beliau berkata, PDRM Terengganu akan sentiasa memberi kerjasama terhadap sebarang penganjuran aktiviti permotoran yang sihat.
Bagaimanapun, katanya, keselamatan jalan raya dan kepatuhan kepada undang-undang kekal menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi bagi memastikan penganjuran acara pada masa hadapan berlangsung dalam suasana yang lebih selamat dan berhemah.