PUTRAJAYA: Tiga lelaki yang maut disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, dekat sini, pada Isnin sangat akrab dan sentiasa meluangkan masa terutama melibatkan hobi dan aktiviti.
Seorang ahli keluarga mangsa, Haris Salleh Kurais, 42, berkata, ketiga-tiganya juga sering pergi ke mana-mana bersama-sama.
“Ya memang rapat. Kalau pergi ke mana sahaja mereka pasti bersama-sama. Contoh, kalau mahu baiki motosikal, seorang akan ikut,” katanya kepada pemberita di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam.
Ketiga-tiga yang maut dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu ialah dua beradik iaitu Mohamad Ahzam Marusin, 16, dan abangnya Mohd Sahrif, 26, serta sepupu mereka Mohammad Safwan Aksan, 18.
Haris Salleh berkata, dia menerima panggilan berkaitan insiden itu kira-kira 4.30 petang dan sememangnya terkejut atas kejadian menimpa mangsa.
“Kali terakhir saya jumpa mereka dua hari lepas, semasa pergi ke pantai. Saya memang rapat dengan mereka,” katanya.
Mengenai urusan pengebumian, Haris Salleh berkata, jenazah ketiga-tiganya akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Semporna, Sabah selepas proses bedah siasat selesai.
Tinjauan Bernama di hospital berkenaan mendapati ahli keluarga mula berkumpul sejak 8 malam tadi bagi mengikuti proses bedah siasat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, tiga lelaki maut dipercayai akibat disambar petir ketika berteduh di bawah sebatang pokok di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi.
Tular beberapa video memaparkan tiga individu dipercayai kesemuanya lelaki terbaring dan telah meninggal dunia akibat disambar petir ketika kejadian hujan lebat hari ini.
-- BERNAMA