Keputusan kerajaan mengenakan sekatan kemasukan ke atas 23 negara berisiko dibuat berasaskan beberapa faktor termasuk data daripada Pusat Kawalan Penularan Wabak Eropah (ECDC) dan Our World in Data.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, selain itu kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan COVID-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit yang dibangunkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menggunapakai sumber data terbabit.

Dalam sidang media pada Khamis, beliau berkata, hasil penilaian ke atas semua 23 buah negara yang telah dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia didapati mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan COVID-19.

Antara kriteria lain yang dikenal pasti adalah:

1. Bilangan kes COVID-19 dalam tempoh 14 hari kebelakangan.

2. Kadar insiden persatu juta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan.

3. Kadar kematian 14 hari kebelakangan persatu juta penduduk.

4. Kadar kematian kes kumulatif.

5. Indeks pemulihan.

6. Kes kumulatif COVID-19 melebihi 150,000 kes.

Namun demikian, kata Dr Noor Hisham, penilaian risiko ini adalah salah satu mekanisma menilai risiko COVID-19 sesebuah negara.

"Masih terdapat kriteria lain yang perlu diteliti seperti polisi pengesanan kes COVID-19 negara terbabit, yang memberi implikasi langsung kepada jumlah kes semasa yang dikesan dan dilaporkan," katanya.