Skip to main content

Malaysia

2,364 pelajar tahfz daftar program latihan TVET sejak 2023 - Ahmad Zahid

Sebanyak 2,364 pelajar tahfiz telah mendaftar dalam pelbagai program latihan kemahiran di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi tempoh 2023 hingga 2025, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail
Sebanyak 2,364 pelajar tahfiz telah mendaftar dalam pelbagai program latihan kemahiran di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi tempoh 2023 hingga 2025, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,364 pelajar tahfiz telah mendaftar dalam pelbagai program latihan kemahiran di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi tempoh 2023 hingga 2025, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) berkata, data Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu turut merekodkan 900 pelajar tahfiz berjaya memperoleh pensijilan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

Dalam jawapan bertulis kepada Datuk Ahmad Saad @ Yahya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan dan cabaran pelaksanaan tahfiz TVET, Ahmad Zahid memaklumkan, pensijilan NOSS merangkumi sebanyak 609 orang pada Tahap 3, 285 orang pada Tahap 4 dan enam orang pada Tahap 5.

Advertisement

"Dari segi peluasan program di bawah KESUMA, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) telah menambah penawaran TVET Tahfiz daripada sebuah institusi pada 2024 kepada empat Kolej Teknologi Termaju (ADTEC), iaitu di kampus Selandar, Kepala Batas, Kuala Lumpur dan Jerantut," katanya. 

Langkah itu menyaksikan 375 pelatih mengikuti latihan sepenuh masa peringkat sijil serta program diploma pensijilan mikro (micro-credentials) di institusi berkenaan setakat 31 Ogos. 

Advertisement

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, di bawah inisiatif kementerian ini, sebanyak 1,165 pelajar tahfiz telah mengikuti program TVET merangkumi kursus jangka pendek dan latihan modular sehingga peringkat ijazah sejak Program Huffaz Profesional diperkenalkan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2016.

Program itu kini diperluas ke TVETMARA, GIATMARA, Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Kolej KEDA dan Kolej KETENGAH, selain disokong penyediaan program persediaan akademik, serta unit latihan bergerak ke institusi tahfiz dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sementara itu, di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pelaksanaan program digerakkan menerusi Program Techno-Huffaz di Politeknik dan pendekatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di Kolej Komuniti.

"Setakat Oktober 2026, sebanyak 1,216 pelajar tahfiz telah mengikuti program TVET Tahfiz di Kolej Komuniti, merangkumi 1,196 pelajar melalui 89 kursus Micro-Credentials Stand Alone (MCSA) dan 20 pelajar menerusi kursus kemahiran profesional," katanya.

Menyentuh cabaran pelaksanaan, Ahmad Zahid berkata, isu utama yang dikenal pasti termasuk perbezaan tahap kelayakan akademik dan penguasaan digital pelajar, penyelarasan jadual kemahiran dengan hafazan, serta keterbatasan fasiliti dan tenaga pengajar bertauliah di kawasan luar bandar.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian, agensi dan industri melalui penawaran kursus fleksibel serta modular.

"Ini bagi memastikan latihan yang disediakan kekal relevan dengan pasaran kerja semasa serta melahirkan huffaz profesional seimbang dari segi penguasaan ilmu agama, kemahiran teknikal dan kebolehpasaran," katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement