KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah merekodkan jumlah pengemaskinian maklumat individu seramai 2.38 juta orang berdasarkan sumber data pentadbiran setakat semalam.

PADU dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan diberikan sejak ia dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, 2 Jan lepas.

Menurut infografik yang turut dikongsikan bersama hantaran itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 0.38 juta individu, diikuti Sarawak (0.31 juta), Johor (0.24 juta) manakala Perak dan Sabah, masing-masing (0.21 juta) individu.

Bagi negeri-negeri lain pula, Kedah dan Kelantan masing-masing merekodkan (0.16 juta) individu, Terengganu (0.13 juta), Pahang dan Kuala Lumpur, masing-masing (0.12 juta), Pulau Pinang dan Sarawak, masing-masing (0.11 juta), Melaka (0.07 juta), Perlis (0.03 juta) manakala Labuan dan Putrajaya masing-masing merekodkan (0.01) juta individu.

Orang ramai boleh mengemas kini maklumat mereka dalam sistem PADU menerusi laman sesawang www.padu.gov.my, yang dibuka dari 2 Jan hingga 31 Mac ini.

-- BERNAMA