KUALA LUMPUR :Sarawak mencatatkan jumlah kes harian tertinggi COVID-19 pada Ahad dengan 255 kes baharu dilaporkan.

Perkara itu dimaklumkan dalam laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 3,379 kes.

Selain itu, JPBN Sarawak turut mengesahkan terdapat dua kematian melibatkan Kluster Pasai yang direkodkan di Sibu.

"Kes kematian ke-27 merupakan kes ke-2,963 yang melibatkan seorang perempuan warga Sarawak berumur 53 tahun. Kes ini telah dirujuk ke Hospital Sibu pada 20 Januari 2021. Kes (dilaporkan) mengalami masalah kesukaran bernafas dan seterusnya dimasukkan tiub bagi bantuan pernafasan.

"Kes telah disahkan meninggal dunia pada 20 Januari 2021 jam 11.47 malam di Hospital Sibu. Saringan ujian rt-PCR telah dijalankan pada 21 Januari 2021 dan didapati positif COVID-19," memetik kenyataan itu.

Menurut JPBN Sarawak lagi, wanita ini juga dilaporkan menghidap penyakit kencing manis, penyakit darah tinggi dan kegagalan fungsi buah pinggang.

"Kes kematian (seterusnya) ke-28 merupakan kes ke-2,675 melibatkan seorang lelaki (juga) warga Sarawak yang berumur 91 tahun dan telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 16 Januari 2021.

"Saringan ujian rt-PCR COVID-19 telah dibuat pada 18 Januari 2021 dan didapati positif pada 21 Januari 2021.

"Kes telah disahkan meninggal dunia pada 23 Januari 2021 jam 4.31 pagi di Hospital Sibu. Kes ini juga mempunyai ko-morbid iaitu penyakit darah tinggi, penyakit jantung dan strok," tambah kenyataan itu lagi.

Sementara itu, berdasarkan kes harian yang dicatatkan pada hari ini, Kluster Pasai masih lagi menjadi kluster yang menyumbang kepada pertambahan tertinggi COVID-19 di Sarawak dengan 42 kes dilaporkan.

"29 kes lain melibatkan individu bergejala di pusat kesihatan di Daerah Sibu. Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan," ujar JPBN Sarawak.

Selain itu, Miri mencatatkan 57 kes, Kanowit (30 kes), Song (27 kes), Betong (14), Dalat dan Bintulu (sembilan kes), Serian dan Subis (lapan kes).

Selebihnya, Sarikei dan Matu (lima kes), Kapit dan Sebauh (tiga kes), Kuching dan Beluru masing dua kes, manakala Bukit Mabong dan Tatau, satu kes. 

Antara lain, Daerah Song dan Betong juga dilaporkan telah bertukar status dari Hijau kepada Jingga setelah mencatatkan penambahan kes dalam tempoh 14 hari yang lepas.

"Daerah Tatau pula telah bertukar status dari status Hijau kepada status Kuning setelah satu (1) kes jangkitan tempatan juga dalam tempoh 14 hari yang lepas," kata JPBN Sarawak.

Lapan kluster juga dilaporkan kekal aktif di Sarawak. Kluster-kluster tersebut adalah Kluster Rakut, Kluster Bukit Sekubong, Kluster Jelita, Kluster Pasai, Kluster Keranji Tabuan, Kluster Bah Sayap, Kluster Stutong, Kluster Mador.