Skip to main content

Dunia

Pemilik Knicks kecam Datuk Bandar, NYPD ketika final NBA cetus kontroversi

Fans pass a security checkpoint on Sixth Avenue outside of Madison Square Garden ahead of Game 4 of the NBA Finals between the New York Knicks and San Antonio Spurs, Wednesday, June 10, 2026, in New York. (AP Photo/Heather Khalifa)
Peminat melalui pusat pemeriksaan keselamatan di Sixth Avenue di luar Madison Square Garden menjelang Perlawanan 4 Final NBA antara New York Knicks dan San Antonio Spurs. - Foto AP

NEW YORK: Pemilik New York Knicks, James Dolan, mengkritik keras pihak berkuasa bandar termasuk Datuk Bandar New York dan Polis New York (NYPD) berhubung langkah keselamatan ketat yang didakwa menjejaskan sambutan peminat sempena Final NBA di Madison Square Garden (MSG).

Dolan menyifatkan Datuk Bandar Zohran Mamdani dan Pesuruhjaya NYPD Jessica Tisch sebagai pihak yang merosakkan kemeriahan acara, selepas sekatan keselamatan yang dikenakan menyukarkan akses ke kawasan sekitar stadium menjelang Perlawanan 4 siri akhir.

Susulan kekangan tersebut, Dolan bertindak membatalkan acara tontonan awam atau 'watch party' di luar stadium yang sebelum ini menjadi tradisi bagi perlawanan play-off Knicks.

Menurutnya, had kehadiran antara 500 hingga 1,000 orang serta kawalan ketat yang dikenakan menyebabkan ramai peminat tidak berpeluang menyertai acara itu.

“Puluhan ribu peminat yang mahu hadir dan meraikan Knicks terpaksa diketepikan,” katanya, sambil menambah keputusan membatalkan acara itu adalah bagi mengelakkan berlaku ketidakadilan.

Bagaimanapun, pihak bandar menegaskan bahawa permit telah diluluskan untuk acara tersebut dengan langkah keselamatan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan awam.

Peserta acara diwajibkan melalui zon pemeriksaan keselamatan khas serta beberapa jalan berhampiran ditutup kepada lalu lintas biasa.

Datuk Bandar Mamdani pula menyifatkan pembatalan acara itu sebagai sesuatu yang mengecewakan dan “mematahkan hati” peminat di seluruh bandar.

Langkah keselamatan di sekitar MSG telah dipertingkatkan sejak awal minggu ini, terutamanya selepas kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Perlawanan 3.

Kehadiran beliau menyebabkan beberapa jalan utama ditutup dan kawalan keselamatan diperketat dengan penglibatan Perkhidmatan Rahsia AS.

Final NBA yang berlangsung di tengah Manhattan kini menjadi tumpuan utama warga New York, dengan Knicks kembali beraksi di gelanggang sendiri dalam perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun.

Pasukan itu kini mendahului siri 2-1 ke atas San Antonio Spurs dan berpeluang mengukuhkan kedudukan mereka dalam Perlawanan 4.

Selain itu, kehangatan perlawanan turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal, termasuk khabar angin bahawa penyanyi popular Taylor Swift bakal menghadiri perlawanan tersebut.

Minat luar biasa terhadap perlawanan ini turut menyaksikan harga tiket melambung tinggi, menjadikannya antara acara sukan paling mahal di New York ketika ini.

Walaupun berdepan cabaran logistik dan keselamatan, sambutan peminat terhadap Knicks kekal luar biasa dengan suasana penuh semangat di sekitar arena yang digelar “Arena Paling Terkenal di Dunia” itu.

Selepas Perlawanan 4 di New York, kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu di San Antonio untuk Perlawanan 5, sebelum kembali ke New York bagi Perlawanan 6 jika perlu.
 

 

Must Watch Video

Advertisement