MALAYSIA
28 motosikal diperiksa, 10 dikenakan tindakan dalam Ops Bersepadu JAS

JASWPKL memaklumkan, operasi itu disertai lapan pegawai JASWPKL bersama anggota JSPT dengan fokus kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran bunyi di kawasan bandar. - Gambar Facebook JAS
KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 motosikal diperiksa dalam Ops Bersepadu yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Kuala Lumpur di Jalan Pahang.
Daripada jumlah itu, ujian bunyi bising dilakukan ke atas 10 motosikal dengan lima Notis Arahan dikeluarkan di bawah Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, manakala lima lagi kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
Dalam satu kenyatan, JASWPKL memaklumkan, operasi itu disertai lapan pegawai JASWPKL bersama anggota JSPT dengan fokus kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran bunyi di kawasan bandar.
"Ia dilaksanakan selaras dengan usaha kerajaan mengawal kesan negatif bunyi bising terhadap kesihatan awam."Tindakan tegas perlu diambil berikutan aduan orang awam mengenai gangguan bunyi motosikal yang diubah suai ekzosnya hingga melebihi paras dibenarkan.
"Pencemaran bunyi bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan masyarakat setempat, malah boleh meningkatkan risiko stres, gangguan tidur dan masalah kesihatan lain," jelas kenyataan itu.
JAS menegaskan, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, terutama di lokasi tumpuan ramai bagi memastikan peraturan dipatuhi dan kualiti hidup masyarakat bandar sentiasa terpelihara.
"Orang ramai diingatkan agar mematuhi undang-undang berkaitan tahap bunyi kenderaan, demi menjaga kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan awam.
"Kerjasama pengguna jalan raya dalam mematuhi undang-undang sedia ada disifatkan penting untuk menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan lestari," jelas kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami