ALOR SETAR: Sebanyak 280,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di tiga daerah terjejas akibat kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di Baling, Isnin lepas.

Bahagian Komunikasi Korporat SADA dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air di daerah Baling, Kuala Muda dan Kulim itu berlaku disebabkan kadar kekeruhan air mentah tinggi disebabkan insiden berkenaan.

"Banjir besar itu telah mengakibatkan operasi loji di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani, LRA Pinang Tunggal, LRA Kulim Hi-Tech, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Kuala Ketil Baru terpaksa dihenti tugas.

"Henti tugas lima LRA itu dijangka telah menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 280,000 akaun merangkumi 48 kawasan utama di daerah terlibat," katanya.

Katanya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat SADA telah diaktifkan serta-merta semalam dan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 selain di platform sedia ada iaitu Pusat Informasi SADA (SIC) di talian hotline 1300 88 0017.

"SADA memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengguna akibat gangguan bekalan air ini dan sedang giat mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini dengan kadar segera.

"Maklumat berkenaan gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook Syarikat Air Darul Aman dan laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my," katanya.

-- BERNAMA