Sebanyak 29 rumah rosak ribut dalam satu kejadian di Kampung Forest, dekat sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tiada penduduk dilaporkan mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.35 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota dihantar bagi memantau lokasi terbabit.

“Hasil pemantauan, 29 rumah itu terletak di pesisir laut dengan sebahagian besar kerosakan membabitkan atap rumah yang diterbangkan angin.

“Tiada sebarang operasi dijalankan dan pihak kami cuma menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian untuk memastikan tiada kemerbahayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Dalam pada itu, Jimmy berkata, tiga buah motosikal dan sebuah kereta turut rosak akibat ditimpa pokok tumbang ketika ribut berkenaan.

“Kejadian berlaku di sebuah kawasan parkir hotel dan tiada mangsa cedera,” katanya.