KUALA LUMPUR: Sebanyak 298 kematian tahanan termasuk enam kanak-kanak lelaki direkodkan di depot imigresen di seluruh negara bagi tempoh dua tahun setengah iaitu dari 2020 hingga 12 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata daripada jumlah itu, 264 merupakan tahanan lelaki dan 34 lagi adalah wanita.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, 154 kematian membabitkan tahanan warganegara Indonesia dan Filipina di depot-depot imigresen di Sabah.

“Setakat 12 Julai 2022, seramai 17,703 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di semua depot imigresen seluruh negara yang terdiri daripada 12,722 orang lelaki, 3,217 orang wanita, 996 orang kanak-kanak lelaki dan 768 orang kanak-kanak perempuan.

"Kumpulan tahanan paling ramai terdiri daripada warganegara Filipina iaitu seramai 7,022 orang (36.67 peratus), diikuti warganegara Indonesia seramai 4,625 orang (26.13 peratus) dan warganegara Myanmar seramai 1,390 orang (7.85 peratus).

"Manakala di empat depot imigresen di Sabah, terdapat 7,369 tahanan meliputi 5,478 tahanan lelaki, 1,129 wanita dan 762 kanak-kanak, iaitu 447 kanak-kanak lelaki dan 315 kanak-kanak perempuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah turut menjelaskan laporan bertajuk ‘Seperti di Neraka: Kondisi Pusat Tahanan Imigrasi di Sabah’ oleh Koalisi Buruh Migran Berdaulat baru-baru ini, yang mendakwa sebanyak 149 kematian melibatkan tahanan Indonesia sepanjang 18 bulan di depot-depot imigresen, adalah tidak tepat.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, laporan oleh Koalisi Buruh Migran Berdaulat adalah tidak tepat susulan daripada kesilapan statistik kematian tahanan yang dirujuk,” ujar Hamzah.

Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Negeri Sabah mengambil tindakan konsisten bagi memastikan usaha pengusiran dilaksanakan dengan cekap serta isu kesesakan di depot imigresen tidak berterusan.

Antaranya termasuk melaksanakan pemindahan tahanan dari depot berkapasiti tinggi ke depot yang kurang berkapasiti tinggi; menggiatkan usaha pengusiran tahanan ke negara asal; mengadakan rundingan secara berkala dengan pihak Kedutaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.